Mengaibkan, Sultanah Terengganu Mahu Saman Clare

Sultanah Terengganu iaitu Sultanah Nur Zahirah akan bertindak menfailkan satu saman terhadap pengasas dan editor Sarawak Report iaitu Clare Rewcastle-Brown. Ini berkait rapat dengan satu dakwaan berunsurkan fitnah yang dikatakan dibuat terhadap Sultanah Terengganu.
Fitnah berkenaan berkaitan dakwaan satu konspirasi membabitkan Jho Low dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Kes saman ini telah disahkan sendiri oleh peguam kepada pihak SUltanah Nur Zahirah iaitu Datuk Mohd Haaziq Pillay. Kata peguam berkenaan, pendedahan butiran penuh tentang kes saman terhadap Clare Rewcastle-Brown akan dinyatakan pada hari Sabtu ini.
Berkata tentang soalan berhubung tindakan Sarawak Report yang mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak mengaitkan Sultanah Terengganu dengan kandungan buku terbitan mereka, Mohd Haaziq tegas mengatakan bahawa saman itu tetap akan diteruskan.
Ini komen dari pihak peguam Sultanah Terengganu tentang hal ini:
“Ia mengaibkan dan mereka tidak memikirkan perasaan Sultanah Nur Zahirah ketika membuat dakwaan itu. Hanya selepas pihak kami mahu memfailkan saman, mereka (Sarawak Report) mengemukakan penjelasan terhadap dakwaan itu. Mengapa ia tidak membuat pengesahan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan? Kami tidak boleh menerima permohonan maaf ini dan tetap akan meneruskan saman itu”
Clare Rewcastle-Brown didakwa membuat satu kenyataan tidak benar menerusi pendedahan melalui buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose’. Dikatakan ianya ada mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.
Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu ada membuat satu kenyataan dan telah menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Sultanah Terengganu sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).
Buku berkenaan didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang mula dilancarkan kepada umum pada tanggal 8 September yang lepas.
laporan dari portal Sarawak Report hari ini pula telah menyiarkan kenyataan bahawa mereka mengesahkan kandungan di dalam buku itu sebenarnya tak menunjukkan bahawa Sultanah Terengganu ada konspirasi dengan Jho Low atau terbabit dalam urusan 1MDB.
Menerusi kenyataan lanjut, pihak Sarawak report syak bahawa perkara itu disalah tafsirkan kepada Sultanah Nur Zahirah oleh mereka yang mahu menimbulkan masalah.
Menurut Sarawak Report lagi, jika dibaca dengan teliti, ia dapat menjelaskan bahawa tiada dakwaan dibuat terhadap mana-mana ahli keluarga Diraja Terengganu.
“Kami meminta maaf terhadap Sultanah jika Sultanah kecewa dengan salah tafsiran maksud (kandungan buku itu) dan percaya dengan penjelasan ini berhubung perkara itu”
Esok, pada hari Sabtu ini satu kenyataan akan dibuat oleh pihak peguam tentang hal ini. (Sumber: BH)

Leave a Comment